Ahad, 17 Mac 2013

Qada dan Qadar

Qada Dan Qadar Qada dan qadar adalah salah satu dari rukun iman
yang wajib dipercayai dan diimani oleh setiap orang
Islam. Penjelasan mengenai qada dan qadar ini ada
dibicarakan di dalam kitab-kitab aqidah dan
perbincangannya agak panjang dan adakalanya
begitu susah untuk difahami oleh kebanyakkan orang terutamanya bagi sesiapa yang baru
menjejakkan kaki dalam perbincangan ilmu aqidah
secara mendalam. Sememangnya perkara aqidah ini memerlukan
penjelasan yang sejelas-jelasnya. Para ulama
mengatakan bahawa adalah tidak harus sama sekali
untuk bertakliq di dalam persoalan aqidah. Saya
berharap dengan tulisan ringkas ini akan
memberikan kefahaman yang sempurna kepada semua pembaca pada persoalan qada dan qadar ini.
InsyaAllah. ERTI DAN BAHAGIAN QADA DAN QADAR Qada bermaksud pelaksanaan. Adapun qadar
bermaksud sukatan.Terbahagi kepada dua
bahagian iaitu: Qada Mubram dan Qada Muallaq. Qada Mubram: Adalah ketentuan Allah Taala yang
pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu
apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku).Firman
Allah Taala bermaksud: Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang
ghaib. (Surah al-Anaam: ayat 59). Qada Muallaq: Adalah ketentuan yang tidak
semestinya berlaku bahkan bergantung kepada
sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung
kepada menghubungkan silaturrahim dan amal
kebajikan yang lain). Sabda Rasulullah S.A.W.
bermaksud: Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa.
Dan tiada yang boleh memanjangkan umur
melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi). SEMUA PERKARA DI DALAM PENGETAHUAN ALLAH
TAALA Kedua-dua jenis qada di atas ini adalah di dalam
pengetahuan Allah Taala. Firman Allah Taala
bermaksud: Dan pada sisi Allah Taala jua kunci-kunci semua yang
ghaib. (Surah al-Anaam: ayat 59). Segala perbuatan hamba adalah diketahui oleh Allah
Taala melalui ilmu-ilmuNya. Hanya ianya terlindung
dan tidak diketahui oleh hamba-hambaNya yang
lemah. Kerana itulah kita disuruh untuk sentiasa
berusaha dan taat kepadaNya kerana kita tidak
mengetahui apa yang akan berlaku kepada kita nanti. ANTARA BENTUK KETAATAN Antara bentuk ketaatan adalah dengan berdoa
kepada Allah Taala. Dengan berdoalah seseorang
hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan
berhajat atau memerlukan kepada Allah Taala.
Firman Allah Taala bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu
tentang aku maka (jawablah) bahawasanya Aku
adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang
yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka
hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)
Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah: ayat 186). Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Doa merupakan otak kepada ibadat. (Riwayat at-Tarmizi). SENTIASA BERUSAHA DAN BERDOA Setelah diketahui bahawa segala usaha dan doa dari
hamba akan didengar dan diambil kira oleh Allah
Taala maka dengan sebab itulah perlunya
seseoarang hamba itu untuk sentiasa berusaha dan
berdoa. Namun segala usaha dan doa ini sudah
tentulah di dalam kuasa dan ilmu Allah Taala. Kerana itulah ada dinyatakan bahawa manusia hanya
berusaha dan berdoa tetapi Allah Taala jualah yang
menentukannya. Disebabkan manusia tidak
mengetahui qada dan qadarnyalah maka manusia
perlu kepada usaha dan doa. Firman Allah Taala
bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan
yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah ar-Rad: ayat 11). KONSEP QADA DAN QADAR Keperluan kepada konsep qada dan qadar di dalam
Islam adalah: - Menisbahkan kepada Allah Taala di atas segala
yang berlaku di dunia ini. - Beriman bahawa hanya Allah Taala yang memiliki
kuasa mutlak menentukan urusan di dunia ini. - Menyedarkan bahawa manusia itu lemah dan perlu
kepada bantuan Allah Taala. - Hikmah qada dan qadar disembunyikan dari
pengetahuan hamba adalah supaya seseorang
hamba itu sentiasa berusaha dan taat kepadaNya. PERINGATAN Peringatan daripada dalil hadis di bawah ini dapat
mengingatkan kepada kita tentang bahayanya
mempersoalkan dan memanjang-manjangkan
perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa
sebab tertentu. Sebab itulah kebanyakkan para tok
guru kita cuba mengelakkan diri dari berbicara mengenai qada dan qadar ini secara panjang lebar
terutamanya kepada masyarakat awam. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Apabila disebut tentang qadar maka diamlah… (Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim). PENUTUP Sebagai umat Islam yang beriman adalah kita
diwajibkan mempercayai dan mengimani qada dan
qadar. Segala yang berlaku adalah dari Allah Taala
semuanya. Kita hanya mampu berusaha dan berdoa
akan tetapi Allah Taala jualah yang Maha Berkuasa
yang menuntukan segala sesuatu itu. Saya ingin sarankan agar kita semua dapat mempelajari ilmu
aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah dengan lebih
mendalam dan terperinci.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan